Selasa, 8 Mei 2012

Pertandingan Tilawah dan Ragamnya



Qari Dr Ahmed Nuaina
Saban tahun, bila tiba bulan febuari sebahagian masyarakat ‘pembaca Al-Quran bertarannum’ mula dilihat resah dan gelisah. Tidur tak lena, makan tak lalu. Setiap orang di kalangan mereka mula membilang hari. Hari-hari yang di lalui tiada lagi suka dan ketawa yang menjadi-jadi. Bagi mereka, pertandingan yang bakal mendatang tak lama lagi tidak akan di sia-siakan begitu sahaja.
Lalu tanpa membuang masa segelintir mereka mula menjenguk tok-tok guru yang sudah berbulan-bulan di lupakan semenjak habis pertandingan tahun yang lalu. Dengan kesungguhan yang tinggi mereka akan mula berlatih bacaan berlagu dengan kesungguhan yang luar biasa. Sama ada bersama tok-tok guru mahu pun berseorangan, mereka akan terus mengasah suara-suara mereka untuk mengalunkan lagu-lagu yang menarik dan lebih menarik. Mereka ini terdiri dari kalangan orang-orang separuh mahir dalam bidang tarannum. Memulakan latihan ketika ini dikatakan sudah sedikit terlewat namun sedikit awal jika dibandingkan dengan memulakan latihan di waktu kecederaan.
Segelintir mereka pula akan mula bertemu ‘tok-tok guru tinggal’ mereka di waktu-waktu kecederaan. Biasanya, mereka akan mula tersedar dari mimpi yang terlalu indah apabila menerima panggilan dari Jabatan Agama Daerah menjemput mereka sebagai peserta pertandingan. Maka dengan penuh kekalutan dan kegabraan mereka mula menagih simpati ‘tok-tok guru tinggal’ untuk menunjuk ajar dan menghangatkan kembali ‘ilmu bermusim’ mereka. Namun kebanyakan mereka ini hanya akan berlatih di rumah tok-tok guru sahaja. Tidak ramai dari kalangan mereka yang akan menyambung latihan apabila bersendirian di rumah.
Ada juga segelintir yang memilih untuk percaya kepada kemahiran dan kehebatan diri sendiri. Mereka tidak memerlukan guru untuk menunjuk ajar mereka. Biasanya mereka lebih suka mencedok idea dari kaset-kaset, cd, rakaman-rakaman dan video pembaca-pembaca Al-Quran yang lain sama ada yang masyhur atau tidak. Sumber pendengaran mereka ini sangat mudah diperolehi dari internet. Mereka ini biasanya menganggap rakan-rakan seangkatan mereka lebih kurang dari mereka. Jika dilihat dari sudut kedudukan sosial, mereka bukanlah orang yang tidak bersekolah. Ada dikalangan mereka merupakan lulusan agama dari seberang laut. Mereka mempunyai asas pengetahuan agama. Tetapi mereka ini tidak mampu menundukkan keegoan dan ketinggian diri mereka kepada orang lain. Dengan kata lain mereka tidak kenal penyakit-penyakit hati yang sedah mereka hidapi. Namun apa yang baik pada mereka ialah mereka ini sangat rajin mendengar rakaman-rakaman suara yang menjadi sumber idea mereka itu.
Namun apa yang paling menarik ialah wujud di kalangan mereka satu kelompok yang tidak pernah terpengaruh dan terkesan dengan situasi ini. Mereka ini sangat gemar menjadi peserta pertandingan. Hampir setiap tahun ada sahaja muka-muka ini. Mereka bukan orang baru dalam dunia ini. Malah mereka di gelar sebagai “orang lama”. Ada yang sudah 20 tahun menjadi peserta pertandingan, bahkan ada yang meninggal dunia atas pentas pertandingan. Biasanya kualiti bacaan mereka tidak sehebat mana pun, kualiti bacaan mereka ini kebanyakannya menyamai kualiti bacaan budak sekolah, kata seorang guru yang hebat. Dan yang pasti prestasi mereka takkan berubah apatah lagi meningkat kepada yang lebih baik.
Kelompok terakhir yang wujud dalam golongan pembaca Al-Quran bertarannum ini ialah satu kelompok yang sangat mencintai Al-Quran dan segala yang berkaitan dengannya. Setiap hari pasti akan ada masa-masa yang mereka hadiahkan untuk Al-Quran. Sama ada membaca al-Quran, memerhatikan makna-maknanya, tafsirannya, mereka juga akan melatih lidah mereka untuk lebih menepati sebutan yang sebenar yang lebih fasih dengan tujuan untuk memperindahkan Al-Quran yang sudah sedia indah. Mereka malah akan mencari cara yang lebih baik untuk lebih mencantikkan Al-Quran dengan cara melagukan Al-Quran mengikut cara yang dibenarkan oleh syarak. Keinginan yang tinggi untuk menjaga dan memelihara kemurnian dan kecantikan Al-Quran ini menyebabkan mereka ini dengan tanpa dirancang akan sentiasa melatih diri mereka dengan bacaan yang baik setiap saat dan ketika. Golongan ini terlampau sedikit dan hampir-hampir tidak wujud di kalangan mereka.
Akhirnya, bila tiba hari pertandingan semua peserta dengan penuh keyakinan akan mempersembahkan bacaan yang terbaik berdasarkan kemampuan masing-masing walaupun dengan niat dan tujuan yang berbeza. Biasanya masalah dan cakap-cakap tidak akan timbul sebelum peserta naik ke pentas. Bila turun sahaja dari pentas setelah melakukan satu persembahan bacaan maka mula lah timbul cakap-cakap dan rungutan dari peserta. Perkara yang dicakap-cakapkan biasanya berkaitan dengan prestasi suara, harakat tarannum yang tidak mencapai syarat,sesat lagu, salah baris, salah ayat. Andai kata seorang peserta dapat mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang dicakap-cakapkan itu maka peluang untuk mendapat tempat sebagai pemenang adalah tinggi. Jika sebelum naik ke pentas seorang peserta itu dilihat baik dan berakhlak, keadaan akan berubah bila peserta tadi turun dari pentas. Dan akan lebih menonjol apabila keputusan sudah diumumkan.
Peserta yang menang kebiasaannya lebih banyak berdiam diri dan bersyukur atas nikmat kemenangan itu. Namun peserta yang tidak mendapat tempat akan mula memprotes. Tidak semua. Segelintir sahaja yang akan memprotes. Kalau tadi selepas turun dari pentas hanya beberapa perkara yang berkaitan dengan bacaan sendiri sahaja yang di cakap-cakapkan tapi sekarang yang di kritik ialah hakim dan jabatan agama negeri pula. Hakim tak pandai (tidak dinafikan memang wujud), hakim tidur, hakim kurang dengar, hakim berat sebelah, hakim komplot dan bermacam-macam-macam lagi. Jabatan agama pula dah tetapkan pemenang sejak awal lagi dan banyak lagi tuduhan-tuduhan yang timbul. Protes ini pula tidak berhenti di situ malah ia akan berlanjutan hingga kepada pertandingan tahun akan datang. Begitulah pusingan situasinya saban tahun. Masalah yang sama akan berulang dan perkara yang samalah juga akan menjadi bahan percakapan dan perbualan sumbang oleh bekas-bekas peserta yang kalah.
Kadang-kadang oleh sebab sangat tidak berpuas hati dengan kekalahan, mereka sanggup melakukan perkara maksiat yang nyata seperti memfitnah pemenang seperti “dia menang tu sebab dia dah rasuah hakim”, merendah-rendahkan pemenang seperti “dia tak layak menang pun kalau tak percaya dengar lah balik rakaman bacaan dia, yang patut menang adalah aku”, memfitnah hakim seperti “hakim tu dibayar untuk menangkan peserta negeri tu” atau “dah memang itu murid dia takkan nak bagi kalah”. Cakap-cakap ini tidak sahaja berkisar di kalangan kumpulan ini tetapi ia turut disebarkan kepada rakan-rakan luar yang tidak pernah ada kaitan dengan kumpulan ini.
Persoalannya, mengapakah boleh wujud tuduhan-tuduhan dan sikap-sikap yang tidak manis seperti ini di dalam satu kumpulan yang menjadikan Al-Quran sebagai asas perjuangan mereka??. Persoalan ini sepatutnya diajukan kepada mereka yang sangat tidak berpuas hati dengan setiap kali keputusan pertandingan. Paling kurang diharapkan agar ia membataskan kejahatan lidah dan hati dari terus menuang segala “sampah sarap” yang boleh meruntuhkan keutuhan hubungan sesama manusia.
Sepatutnya setiap kali keputusan pertandingan di umumkan masing-masing peserta kembali bermuhasabah melihat kekurangan diri. Mencari di mana lurah dan lopak yang mesti di tutup dan ditampung. Menyelak dan membelek tujuan dan niat ketika menyertai pertandingan. Apakah membetuli tujuan mengapa Al-Quran itu di baca?? Jika tujuan Al-Quran itu di baca untuk mencari nama, wang, masyhur dan terkehadapan maka ketahuilah bahawa ia telah menyeleweng. Andai benar tujuannya bahawa membaca Al-Quran itu kerana ingin menyatakan kehendak yang Maha Berkuasa atas makhluk yang kerdil lalu dengan takut dan berhati-hati melafazkan setiap kalamNya dengan rasa membesarkan kehendaknya. Sudah tentu Allah akan menjaga lidah kita dari sebarang kesilapan. Percayalah!!.
Sang pengkritik mesti sedar natijah setiap pertandingan itu pasti ada yang menang dan ada yang kalah. Pemenang selalunya tak ramai. Paling banyak pun tiga orang. Itu pun bukan bererti semuanya juara. Bila sudah ada juaranya pasti yang kedua itu naibnya begitulah selepasnya pasti adalah tempat ketiga. Maka yang banyak itu adalah yang kalah. Namun untuk mengurangkan sedikit martabat kekalahan biasanya manusia akan meletakkan nombor untuk setiap peserta. Supaya bila di tanya orang “kamu dapat tempat yang ke berapa??” “aku dapat tempat ke 10”. Maksudnya tempat ke-11 lebih teruk. Begitulah strategi psikologi dalaman yang manusia aturkan supaya setiap peserta setiap pertandingan merasa sedikit terpujuk bila menghadapi situasi kekalahan. Namun yang sangat pasti manusia akan hanya mengatakan bahawa pemenangnya adalah juaranya. Itulah hakikat dan lumrah dunia yang telah Allah aturkan. Alangkah baiknya jika semua manusia dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.
Seperti mana wujudnya kita semua sebagai makhluk tidak pernah kita pinta. Dan rezeki yang di anugerahkan Allah kepada kita sejak mula kita membentuk darah di dalam perut ibu tidak kita pinta. Setelah keluar menjengah dunia lalu kita dianugerahkan kasih sayang ibu bapa juga tidak kita pinta. Kedudukan anggota badan dan fungsi yang di tentukan setiap daripadanya tidak kita pinta. Semuanya anugerah yang tidak pernah terlintas walau sedetik di hati kita untuk kita dapatkannya. Semuanya telah Allah atur tanpa sedikit pun campur tangan kita. Dia telah mengatur dan menguruskan segala-galanya dengan adil dan teratur walaupun manusia tidak berpuas hati.
Dia Maha Tahu apa yang Dia lakukan. Kerana Dia Maha Bijaksana. Sedang kita jahil segala-galanya. Kita zalim terhadap diri dan Tuhan kita. Dalam limpahan nikmat yang kita kecapi setiap saat masih lagi kita merasakan bahawa Allah berlaku tidak adil pada kita. Sedang kita tidak sedar bahawa Allah itu apabila Dia bertindak pasti Dia akan bertindak dengan kasih sayangnya yang tidak terbatas. Sekalipun nampak zalim di mata kotor kita. Lalu tidakkah keputusan pertandingan itu juga salah satu dari aturan Allah??. Apakah kita berani kata bahawa Allah telah berlaku baik kepada yang menang dan berlaku zalim kepada kita yang kalah??. Berani kita berkata begitu??. Sudah pasti ramai yang berkata “tidaklah aku kata begitu”. Namun dalam tidak sedar, memprotes keputusan pertandingan itu juga sebenarnya adalah bermaksud memprotes aturan yang telah ditentukan Allah.
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan kembali kepada ajaran Al-Quran agar kita menjadi pendokong ajaran Al-Quran yang sejati dan terpuji. Akhlak kita biarlah selari dengan kehendak Al-Quran yang kita selalu baca. Mengubah diri kepada keadaan yang lebih itu adalah suatu tuntutan dari Al-Quran. Kenali diri dan prestasi diri dari keputusan pertandingan itu lebih baik dari memprotes kerana sebenarnya memprotes itu mengurangkan kehendak dan keinginan untuk memperbaiki kekurangan diri sendiri.


Wan Ainuddin Hilmi Abdullah
8mei2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan